Tuesday 29 September 2009

Hari-hari terakhir.


Sila klik pada gambar untuk gambaran yang lagi jelas

Dari gambar diatas pasti ramai yang tahu apa disebalik gambar tersebut. Bagi yang sudah sedia maklum atau pun belum, aku adalah diantara penggerak bebas untuk segala jenis muzik bebas yang aku suka tetapi orang² lain tidak suka, dalam erti kata lain aku adalah diantara orang dari golongan minoriti yang hidup dan akan berusaha untuk terus hidup dikalangan kelompok majoriti. Sama ada mereka mahu terima ataupun tidak aku tetap dengan cara aku. Bila cerita pasal gig, aku telah lama pergi gig, lebih dari 10 tahun yang lalu pun aku sudah pergi gig, berbagai² jenis warna yang telah aku lihat. Begitu juga dengan membuat gig, sudah lama aku berkecimpung didalam seni seperti ini, pelbagai warna juga aku telah terima, baik putih mahupun hitam ataupun biru. Susah senang, pahit manis, gelak ketawa, tangisan duka, aku sendiri yang rasa. Seperti yang terpampang, ini adalah gig paling baru yang akan aku usahakan dan 'kemungkinan besar' ini adalah gig yang terakhir yang akan aku usahakan. Jawapannya senang sahaja, aku sudah penat untuk melihat segala warna yang terpancar. Mungkin juga aku perlukan satu rehat yang panjang, ataupun mungkin aku akan mula buat 'rave party' pula. Lebih komersil kan..

Ada sesiapa tahu bagaimana hendak contact TWILIGHT ACTION GIRL..??

Monday 28 September 2009

Mari membaca.

Semua orang cakap, "jangan menilai sesebuah buku dengan melihat muka depan buku tersebut".

Aku pula cakap, "nilai lah sesebuah buku itu pada setiap harga yang diletakkan."

Dia pula cakap, "mari beli buku² terpakai yang harganya jauh lebih murah"

Kamu semua pula...??

Teks ringkas dihari raya #2

Sudah menjadi lumrah, sudah melekat seperti zarah-zarah, memang setiap kali hari raya kita akan berada didalam dilema iaitu ketebalan duit yang semakin menipis juga masalah pemakanan dimana semua orang akan dengan gembiranya makan dan terus makan demi menyambut hari kemenangan. Open house tak perlu cerita lah, segala macam rumusan dapat dihasilkan, dan sejak beberapa hari lalu telefon bimbit aku dihujani dengan teks ringkas jemputan² ke majlis rumah terbuka. Setakat ini belum ada satu pun yang aku hadir, bukan aku berlagak atau sebaliknya, tetapi aku terlalu sibuk dengan beberapa perkara. Selain dari itu telefon bimbit aku juga dihujani dengan teks² ringkas yang berbunyi seperti dibawah.

"U...berat i naik 4kg lah, macam mana ni..?"

"Abislah, nanti i jumpe bf i mesti dia bising2 cakap badan i dah naik, tolonglah"

"Oh god, i timbang naik 3kg, u kena tolong i ni.."

Maaf aku hanya mampu balas teks ringkas yang berbunyi

"huhu..i think next week nak buat open house besar²an lah..jemput datang tau.."

Friday 25 September 2009

Kenapa aku bukan Cecelia Ahern.

Dulu semalam, ketika sedang duduk minum² sambil menghirup udara segar ciptaan American eagle seorang rakan aku yang setiap harinya memakai baju² band metal dengan design yang sangat ganas, kasar, brutal, kejam juga berdarah² dan selalunya kami akan bersembang tentang topik² yang berkaitan dengan band² metal, evolusi muzik metal, siapa dia ni, siapa dia tu, band ni tour dekat sini, band ni dah nak RIP dan sebangainya. Tetapi malam ni dia hanya mengenakan kemeja kotak² berwarna coklat lalu berkata

"Weh aku dah tengok P.S I LOVE YOU malam tadi, sedih gila..aku menangis sial..tengok cite tu.."

Aku ukir senyuman lalu terfikir yang semua orang ada perasaan kan??

Nah..aku hanya fikir County Wicklow je.

Teks ringkas di hari raya.

Seperti biasa, dari malam raya bawa ke pagi raya, petang raya dan beberapa hari seterusnya telefon bimbit aku memang akan sentiasa meriah dengan teks² ringkas ucapan hari raya dari rakan² tidak kiralah sama ada mereka just foward saja mesej dari rakan² mereka yang lain, tidak kiralah sama ada mereka ikhlas atau sebaliknya, yang penting sekurang²nya ada juga yang masih ingat kepada aku, ada juga yang masih rasa aku wujud atau masih berada didalam lingkaran persahabatan mereka. Aku terharu, aku gembira, cuma kenapa tak ada siapa² yang nak hantar teks ringkas ucapan hari raya yang berbunyi seperti

"Selamat hari raya Aidilfitri geng, aku dah bank-in rm300 kedalam akaun kau, its a gift..semoga bergembira dihari raya ni ye..chow"

Cuba bayangkan kalau ada 10 orang yang buat perkara yang sama..

Sunday 20 September 2009

Hanya aku dan dia saja yang mengerti.

Ini bukan pilihan lagu raya tetapi lagu khas untuk "super girlfriend" saya.

Kadang-kadang kita perlukan kelainan.

Syawal datang singgah lagi, sama seperti tahun² terdahulu. Ada yang sibuk dengan baju baru, langsir dan perabut baru, kuih raya, kerepek merepek, rendang tendang, kuah kacang, ketupat juga lemang, balik kampung, jumpa saudara, jumpa rakan taulan, mercun dan bunga api, kad raya mahupun pelita juga tidak akan lupa iaitu duit raya. dimana² juga sesiapa didalam dunia ni pasti akan meraikannya. Tidak kira sama ada yang sedang sakit perit, sedang senyum mahupun gembira. Aku juga sama seperti semua.

Cuma mungkin next year aku hendak buat bungee jumping pada pagi raya di Queenstown, New Zealand atau Locarno in Ticino, Switzerland. Siapa setuju..?

Selamat hari raya Aidiltfitri. Tidak perlu ucap maaf, tidak perlu tunggu syawal. Aku sentiasa maafkan apa saja. Harap anda pun sama..

Thursday 17 September 2009

I wish i was a messenger.

Kadang-kadang kita tidak perlu untuk toleh kebelakang demi mengenang segala kisah pahit dan perit yang pernah kita lalui kerana kehidupan didepan adalah lebih bermakna untuk difikirkan. Jika semalam dan hari ini kita susah takkan esok pun kita hendak terus susah, apatah lagi hari² seterusnya.

GAMBATE!!

Wednesday 16 September 2009

Fakta tidak penting tentang Android.

Jam sudah menunjukkan pukul 3 pagi, mata aku masih tidak mampu untuk pejam. Air suam sudah jadi seperti strongbow, berbotol² aku teguk. Aku tak pasti kenapa malam ni aku tak dapat tidur dan bukannya malam minggu. Tekak semakin kering dan terus kering walaupun aku sibuk meneguk air. Jantung semakin berdebar². Apa yang perlu aku buat?? Perlukah senaman tracy Anderson pada saat ini..

Anybody??

Beberapa ratus minit yang lalu.

Di kelilingi oleh hiruk pikuk kesesakan asap rokok, bunyi² perbualan dari meja² sebelah serta manusia lalu lalang dikiri dan kanan. Aku yang duduk di satu meja yang besar bersama beberapa rakan. Sambil sembang minum nescafe serta gulung² American Eagle. Menjual idea, itu adalah satu kerja yang aku suka buat. Menjualnya secara percuma kerana aku masih belum bersedia untuk menjadi orang yang kaya. Setelah penat bercerita, aku duduk diam sambil termenung. Dikalangan kami semua sedang seronok berdiskusi, sebelah kanan aku sedang cerita tentang taktik² perniagaan, aku dengar dan angguk tanda setuju. Didepan aku pula mereka sedang bincangkan tentang kewujudan Zion, Nabi Sulaiman, anti Christ juga menyeret kisah² Adolf Hitler serta puak² yahudi. Dibelah kiri aku pula mereka sedang sibuk membincangkan perihal ekonomi serantau. Aku cuma pasang telinga dan rasa bertuah kerana dikelilingi oleh rakan² yang penuh dengan sumber pengetahuan. Walaupun mereka sibuk dengan dunia muzik mereka juga band² mereka Setidak²nya aku dapat tambah pengetahuan aku. Tetapi bila cerita pasal muzik, aku baru teringat yang aku perlu siapkan beberapa artikel untuk majalah muzik, dimana aku sudah banyak kali ditanya tentang hal ni.

Aku kena pulang dan siapkan kerja demi menambah pendapatan yang tidak pernah cukup setiap bulan.

Ketika dengar lagu-lagu dari WINDSOR FOR THE DERBY.

Hidup penuh dengan dugaan dan cabaran, dulu aku sering ditanya oleh gadis², perempuan², wife² orang ditempat kerja, mak saudara, lelaki² juga rakan² tentang serious relationship between aku dengan mana²perempuan lain. Dalam erti kata sebenar, hubungan istimewa. Aku hanya mampu bagi senyuman kerana maksud yang tersirat dan tersurat adalah, aku benar² taknak ambil peduli dengan mana² perempuan yang aku pernah simpan hasrat untuk wujudkan serious relationship. Aku benar² rasa gembira dan tenang dengan cara hidup aku walaupun ramai yang nampak aku seperti sebatang kara, nampak seperti tiada hala tuju, nampak seperti tidak mahu membuat anjakan paradigma terhadap hidup aku. Nah i dont give a damn!!, aku lebih selesa dengan muzik² yang aku dengar, ambil berat tentang kerja² yang nampak seperti buang masa tapi amat bermakna untuk aku. kerja dan terus kerja sebagai sebuah android. Biarlah orang nampak aku seperti seorang LOSER!!, dah tua² pun sibuk nak kejar impian dan cita² yang memang tidak akan berjaya sampai bila². Aku memang malas nak fikir, aku juga memang agak fobia untuk berfikir bila sebut tentang hubungan istimewa antara aku dengan mana² perempuan lain. Tapi kenapa?? Jawapannya selalu apabila aku sudah jumpa dengan seseorang yang aku rasa amat sesuai dengan aku, sesudah bait² cinta dicipta, sesudah kehidupan nampak seperti mahu hidup pasti akan ada lelaki lain yang wujud tanpa dipersila serta akan berusaha dan terus usaha untuk curi kisah cinta aku darinya. Perkara ini benar² buat aku jadi seperti sebuah android kembali. Aku memang jenis yang tidak akan bersengketa untuk perkara² sebegini, sebaliknya akan duduk diam dan terus kembali kedunia lama aku, terus dengan kerja² aku yang orang lain fikir aku buat kerja² bodoh,terus dengan angan² juga terus dengan alunan² muzik yang aku gemar untuk mendengarnya dan kembali pegang sepotong ayat yang berbunyi "I dont give a damn!!"

"Hidup ni penuh dengan dugaan dan cabaran kan?? kalau kau tak mahu melawan, kau akan terus gagal sampai bila².."

Tuesday 15 September 2009

Yes!! we can..

Mampukah kita untuk terus bergelak ketawa dan gembira walaupun hati sedang terluka??

Jawapan dari aku. Yes!! we can..

Bolehkah kita terus senyum walaupun kehidupan disekeliling kita sedang bergolak??

Jawapan dari aku juga sama. Yes!! we can.

Adakah kita dapat teruskan hidup dengan tenang walaupun kita berada didalam kesempitan??

Juga jawapan yang sama. Yes!! we can.

Kenapa.. Yes!! we can.

Aku jawab, sebab aku tahu aku boleh..!! jadi jika aku boleh kau semua pun boleh kerana aku dan kau sama.

Dialog tanpa prolog #10.1

"Weh, jom makan..lapar lah" Dia berkata.

"Adoi, puasalah..takkan kita tak boleh buat baik sekali-sekala.." kamu pula jawab.

"la..aku ajak makan je, bukannya ajak pergi meragut beg tangan orang, bukan ajak pergi hisap dadah, pergi makan je, jahat
ke kalau pergi makan??" Dia berkata lagi.

"Malas layan kau.."

Sunday 13 September 2009

Tatkala Arsene Wenger sedang berfikir.

Sambil memandu jentera pemusnah, disatu jalan yang sangat lurus sambil dihiasi lampu² neon serta telinga menyerap alunan² tenang yang keluar dari suara Eddie Vedder. Dalam kepala aku sedang bergolak tentang kekalah 'favourite team'. Lalu aku hantar satu teks ringkas kepada rakan aku yang juga satu bendera dengan aku.

"Ape weh, kalah lagi, tak gune.."

Dia balas "AKU BENCI BOLA SEPAK"

Malam minggu penuh syahdu.

Malam minggu, malam yang penuh emosi, tatkala banyak manusia keluar mencari erti kehidupan, erti kebebasan, aku pula masih sama seperti malam² minggu yang terdahulu, duduk diam bersama rakan, kadang² seorang diri di kedai mamak, beserta segelas nescafe dan bergelas² air suam juga berpuntung² rokok dihabiskan dengan tenang sambil kepala mendongak melihat kotak tv. Tidak kira apa yang disaji. Kadang² bola sepak, kadang² gusti dan kadang² movie. Duduklah aku berjam-jam. Disekeliling, pelangan bertukar² muka, ada yang suka ada juga yang duka dan aku masih tetap duduk gembira. Bila aku fikir² kembali, memang sebenarnya aku dah lama gagal, gagal didalam mencari erti kehidupan, yang aku lihat hidup aku dan kedai mamak sangat sinonim orang² disekeliling bertukar² ada yang datang ada yang pergi dan ada juga yang pulang, namun aku masih tetap teguh di kerusi aku sendiri bersama dengan benda² yang disukai. Orang lain telah jauh tinggalkan aku, tapi aku masih tidak mahu berganjak. Aku terima dengan hati yang terbuka jika semua orang yang pernah berada didalam kisah hidup aku berjaya dengan kisah baru mereka. Nasihat aku cuma satu, biarkan aku disini kerana aku masih belum bersedia untuk bergerak dan jangan sesekali toleh kebelakang lagi. Belajar pandang perkara di depan.

Thursday 10 September 2009

Vibracobra

Dalam keadaan sangat senyap dan sunyi, ditambah pula dengan kesejukkan udara sejuk dari peti aircond yang baru diselengara beberapa jam yang lalu memang berjaya buat aku tersengguk² sambil menghadap pc pada tengahari yang menguning. Lagu yang didengar melalui earphone pun sudah bertukar dari lagu THE GATHERING bertukar seperti lagu THE POLVO. Aku memang tak suka keadaan begini. Sedang cuba bertahan, satu mesej teks ringkas masuk, lalu aku baca.

"Kena Chicken mc'deluxe pun best ni.."

Aku balas "takpelah, aku x support mc'd, dorang company multinasional"

"ok..kalau mcm tu, kita kena Nasi kandar lah..acm??

Aku bangun terus pergi ke toilet pandang cermin lalu basuh muka.

Jika aku bukan pria

Penceraian adalah satu senario yang sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan kita setiap hari, dalam hal ini selalunya pihak lelaki yang akan dipersalahkan kerana memegang konsep 'tak cukup satu', 'pantang tengok dahi licin', 'badan slim' dan segala macam kata² indah diperturunkan kepada mereka. Aku tidak menyangkal sama sekali, aku juga tidak nafikan apa². Tetapi jika aku seorang wanita, perempuan juga isteri, aku akan pastikan dahi aku licin serta badan aku slim walaupun sudah cecah umur 50. Jalan sorang² pergi outlet Badger dan beli baju disana.

Siapa setuju?

Masih dalam dilema lagi

Aku berada disatu persimpangan dilema. hujung november ini sepupu aku kahwin, banyak persiapannya telah aku bantu, seperti dapatkan special deal untuk katering, perkhidmatan mak andam dan pelamin, kompang, dj dan karaoke serta banyak lagi. Sebagai seorang rocker memang agak pelik kerana aku terlibat didalam idea sesebuah perkahwinan. Namun aku juga manusia biasa yang sentiasa cuba untuk memberi bantuan kepada orang lain. Apalah sangat sumbangan dari aku jika nak dibandingkan dengan sumbangan dari orang lain. Lagipun secara tidak lansung memang aku kenal dengan semua orang yang terlibat, dari pakcik yang handle katering sampailah ke pakcik dj, semuanya sebab aku berkawan dengan anak² mereka. Tapi kenapa aku perlu cakap yang aku berada di satu simpang dilema? jawapannya adalah kerana kawan aku telah beli 2 tiket konsert PEARL JAM di Melbourne pada tarikh dua hari sebelum majlis perkahwinan sepupu aku. Apa yang dilemanya?? sudah ada tiket PEARL JAM, sudah ada tiket kapal terbang yang percuma untuk kemana², juga punya cuti tahun yang sangat banyak, juga punya rakan² yang datangnya dari Melbourne dimana telah banyak memberi banyak 'input' tentang Melbourne, juga sedang dengar dan cuba ingat kembali bait² lirik dari setiap lagu PEARL JAM pada setiap hari. Juga adalah siri konsert terakhir mereka pada tahun ini, tahun depan?? tidak pasti. Kawan aku tak paksa ikut, tapi hati aku meronta². Aku masih dalam dilema lagi, cuba fikir untuk cari jalan penyelesaian tapi ketika sedang fikir, dalam kepala aku hanya ada

"Everything has changed, absolutely nothings changed, Take my hand, not my picture, spilled my tincture"

Huh!!

Damn..!!

Wednesday 9 September 2009

Kita tak mampu untuk ubah dunia.

Aku suka bercerita, aku juga suka berkongsi segala apa yang aku tahu kepada orang lain,lebih² lagi kepada budak² yang jauh lebih muda dari aku. Sumber pengetahuan tidak sepatutnya disimpan dengan rapi, ilmu pengetahuan juga tidak sepatutnya dijual beli. Jadi kadang² jika nampak aku melepak sambil minum segelas kopi dan bergelumang dengan bergulung² rokok itu maknanya aku sedang seronok bercerita tentang apa yang aku tahu berdasarkan fakta yang pernah aku baca, dengar dan lihat. Tak kiralah apa cerita pun, sukan, muzik rock, DIY movie, culture, sejarah, trip² yang pernah aku buat, masalah kerja, self motivated, politik juga isu-isu semasa. Selain dari bercerita aku juga suka bertukar² pendapat dan cuba mengembangkan idealogi² bernas. Yes!! kita memang tidak mampu untuk ubah dunia, tapi sekurang²nya 'we already play our part'. Malam semalam sewaktu duduk lepak dengan seorang rakan lalu dia bertanya.

"Weh, kau rasa negara kita boleh ke jadi negara maju nanti??" Tanya dia.

Aku pula cuba menjawab "Boleh, tapi banyak benda nak kena ubahlah aku rasa..."

"Ubah?? contohnya.." Tanya dia lagi.

Sambil menyedut asap masuk ke rongga aku jawab. "Salah satunya, cuba diantara kita buat tong sampah kecil dan letak dalam kereta masing², so lepas makan or minum, resit tol, plastik rokok dan segala macam sampah akan masuk duduk dalam tong kecil tu, sampai kat tempat masing², keluarkan dan buang ke tong sampah yang besar. Tak perlulah waktu drive turunkan tingkap dan terus buang je kat tepi jalan.."

"Hihi...aku tau kau pun selalu buat" Jelasnya lagi.

Sambil senyum aku jawab "Betul, aku pun selalu buat benda tu, jadi kita kena ubah.."

"Ok selain dari tu, apa lagi yang nak kena ubah??" Tanya dia lagi.

Aku jawab dengan penuh perasaan "Semua orang kena stop tengok movie cerita² mengarut arahan Razak mohaideen atau ahmad Idham or Piere Andre. Trust me, ramai orang akan maju fikiran dia if tak tengok movie² macam tu.."

"Ahahahaha..."

Tuesday 8 September 2009

Pagi tadi pada hari esok.

Dalam keadaan tenang aku duduk didepan pc, sambil dibelakang aku ada beberapa manusia sedang kekiri dan kekanan, disebelah aku pula, ada yang sibuk memeriksa segala kertas kerja dengan tekun. Mata aku sibuk dijegil untuk melihat setiap memo yang masuk kedalam 'inbox' sambil ditelinga sedang dihiasi dengan 'earphone' berwarna kelabu lalu masuk segala alunan² mesra dari WIND OF PLAGUE. Aku gembira, aku suka bila masuk saja kedalam perut pejabat tiada siapa yang pedulikan aku, Jadi aku sudah boleh pilih haluan dan tujuan aku sendiri. Tiba² dalam keadaan mundar-mandir seorang rakan masuk dan menghampiri aku.

"Oi, mata aku bengkak tak??" Tanya dia sambil rapatkan matanya kepada muka aku.

"Tak..tapi macam merah sikit je aku tengok, apehal weh..?" Jawab dan tanya aku semula.

"Tadi entah tebuan mana datang langgar ke sengat ke aku pun tak tau, tapi rase pedih la ni.." Jawab dia lagi.

"Abistu kau taknak pegi check ke??" Aku lagi.

"Aku dah cuci tadi, dah ok lah kut, nasib baik tak buta..kalau tak macam mana??" Jelas dia lagi.

Aku Jawab "Biar buta mata jangan buta hati"

"....,"

"

Monday 7 September 2009

Everyone needs a guardian angel.

Awal tahun lalu, seorang perempuan telah meminjamkan aku sebuah buku hasil penulisan Cecelia Ahern, mesti ramai yang tahu tentang P.S I LOVE YOU, Yes!! buku itulah yang diberi pinjam kepada aku. Di sebabkan konflik melanda buku itu telah aku pulang semula kepada tuannya, sungguh malang kerana aku hanya baru selak beberapa muka surat sahaja. Sebagai seorang android yang sibuk bekerja, aku memang lansung tidak ambil peduli pun untuk pergi cari buku itu di kedai buku ataupun pinjam pada sesiapa yang ada, hinggalah ramai yang telah membuat ulasan tentang buku tersebut. Tidak kurang juga tentang filemnya. Ramai yang cakap cerita dia sangat sedih, sungguh sukar untuk lupakan orang yang kita sayang, sangat perit untuk kehilangan orang yang kita kasihi. Sebulan lalu aku berjaya dapat dvd filem ini dari seorang teman rapat, selepas pulang dari kerja aku baring lalu menonton kisah cerita mereka. Tidak sampai 30 minit aku terlelap dan sedar² saja ceritanya sudah hendak habis. Aku cuma perasan beberapa scene yang menarik. Iaitu scene dimana mereka pergi bercuti ke Ireland. Memang sangat menarik pemandangan kehidupan disana, aku tak perasan pun yang cerita ini sebuah cerita sedih, aku hanya nampak bukit² menghijau serta angin yang kuat bersimpang siur. Baru saja sekejap tadi aku pasang semula filem P.S I LOVE YOU. Aku tonton dengan sepenuh perhatian, aku cuba cari unsur² serta nilai² kesedihan, tetapi malangnya, sekali lagi semua kesedihan hilang apabila sampai ke scene mereka di County Wicklow, Ireland. Ini tak boleh jadi, dalam kegelapan aku cari telefon bimbit lalu hantar satu teks ringkas yang berbunyi..

"Syg, 1 day kita mesti pergi ke County Wicklow,Ireland.. P.S I LOVE U.. :)"

Malangnya..tiada jawapan. Mungkin esok pagi.

Eldery woman behind the counter in a small town.

Beberapa hari yang lalu, ketika aku baru saja melemparkan badan aku keatas tilam usang, sambil seluruh badan diregangkan, mata terbeliak keatas manakala tangan didahi. Dalam keadaan yang sangat sunyi dan suram, tiba² dapat satu teks ringkas berbunyi

"Hey u i nak tanye skit bleh x?" tanya dia.

Aku reply dalam keadaan tenang "U nak tanye ape??

"u xde adik kan?? boleh x i nk jd ur lil sis..? Balas dia lagi.

Sambil senyum sinis aku balas "Huhu..jgnlah, x pyh lah..i seorang Vampire, nanti i angkat n hisap darah u mcm mane??"

"La...apelah u ni..btul² la.." Tanya dia lagi.

Aku balas kembali "Yes, i'm so serious, pergilah cari abg lain, i x pndai jage adik.."

"Lol..." die balas.

Aku cuba pejam mata sambil berkata² didalam hati.

"Zaman sekarang pun ada adik angkat dan abang angkat ke??"

Sunday 6 September 2009

Racun dari bunga dahlia

Aku juga punya cita-cita yang sama seperti dia, cuma dunia kami memang jauh berbeza. Jadi teruskan saja usaha kamu tanpa perlu fikir untuk jadi seperti orang lain kerana setiap diantara kita punya titik noktah masing².



Ehsan dari MonoLoque

Electrocute us all

Tengahari ini aku bangun dari tidur, kesat mata, on pc dan dapat beberapa surat layang bertanya, kenapa sudah lama tidak post entri baru.

Aku jawab,"Nak bagi 'new reader' kejar dan baca semua entri² aku yang dulu²".

Tapi hati aku jawab "tak tau nak tulis ape" sigh!!

Bangun dan terus pergi mandi.

First breath after coma.

Telah agak lama aku lupakan dunia² yang tiada cebican realiti, yang tiada picisan-picisan imortaliti. Aku hanya mampu melihat dari jauh. buat masa ini terlalu banyak beban yang sedang aku pikul, terlalu banyak penyesalan yang sedang aku tanggung. Berdiam diri adalah salah satu jalan penyelesaian bagi manusia android seperti aku, walaupun ianya tidak mampu untuk bertahan lama, namun sedikit sebanyak mampu menenangkan aku yang masih tidak berhenti dari terus gelisah. Tidak ada siapa pun yang pasti tentang teori kehidupan aku, tentang plot dan naratif perjalan kisah aku. Sesiapa yang ikut baca setiap entri dalam blog ini pun tidak akan tahu segala²nya. Tapi tidak mengapa, itu bukan satu perkara yang penting untuk difikirkan. Sekali lagi, selamat datang kepada semua, tidak kira 'silent reader' mahupun sebaliknya, teruskan dengan cara kamu masing², apa-apa pun cara kamu sekalian aku tetap anggap ianya "cool".
Sekali lagi aku mula bernafas setelah lama hanyut dan lemas. Selamat datang juga kepada ketawa dan gembira.

Jika aku Paulo Coelho kau pula adalah Rita Lee Jones.

Kedengaran hujan sangat lebat turun, suasana gelap didalam bilik menjadi semakin kelam, namun bahang masih terasa, peluh masih lagi perlahan² mengalir dari dahi. Mata aku terbeliak menghadap skrin komputer, fikir tentang urat² perkataan yang harus disiapkan, kerja dan terus bekerja. Sambil ruang gelap bilk dihiasi dengan alunan dari lagu² EXPLOSION IN THE SKY dan SUIS LA LUNE. Ketika aku sedang berfikir, tiba² terdengar sayup² satu suara yang sangat halus diluar rumah, suara yang datang menempelak dari bunyi hujan yang sangat sesak buat aku jadi cuak, hati terdetik, "siapa pula yang menjerit?? tetapi suaranya tidak kuat..aku sorang je ke yang dengar..??"/ Perasaan takut cuba ditenggelamkan, aku bingkas bangun, tolak daun pintu bilik lalu berjalan menerusi ruang tamu ke pintu, suis lampu luar dibuka, mata bersinar kuningm tangan menggigil, hati berdebar untuk memulas tombol pintu. Perlahan² pulas dan tarik daun pintu. Rupa²nya...

Kucing aku yang dah tiga empat hari aku tak nampak, tetapi malam ni menjerit² nak masuk ke dalam rumah kerana hujan.

"Huh!! ingatkan dah jadi hippie, tak nak balik rumah.."
© NotaBernoktah 2012 | Blogger Template by Enny Law