Monday, 16 January 2012

Membina semula sukan bola sepak kita


 Rata-rata sokongan rakyat Malaysia terhadap pasukan bola sepak negara begitu kuat sekali. Ia merupakan permainan paling popular rakyat Malaysia dan keghairahan kita tentang bolasepak sememangnya kuat. Namun demikian, keghairahan ini tidak dicerminkan dengan kedudukan ranking FIFA negara kita. Meski pun ranking itu tidak semestinya tepat dan persis, ia memberi gambaran tentang mutu bola sepak negara kita.
Pada 1993 Malaysia terletak di nombor 75 dunia. Ranking tersebut di atas negara-negara bola sepak terkemuka seperti Turki dan Afrika Selatan. Daripada nombor 75, semakin lama, semakin teruk, kepada tangga ke-159 pada 2007.


Mengenal pasti masalah


Apakah yang berlaku sepanjang dekad tersebut sehingga impaknya cukup besar yang menyumbang terus kepada kemerosotan tersebut? Yang pertama, rombakan format liga semi-pro kepada professional sepenuhnya. Kedua, pengenalan TV satelit yang mempromosi bola sepak barat, dan yang ketiga ialah skandal rasuah yang terbongkar tahun 1994.
Segala faktor-faktor ini sebenarnya merujuk kepada satu prinsip ekonomi yang mudah iaitu ‘supply & demand’ (penawaran dan permintaan). Dulu para pemain bermain secara sambilan dan tidak bergantung  sepenuhnya kepada bolasepak untuk menanggung keluarga. Bila duit tidak cukup, sukar untuk mengelak rasuah, apatah lagi Malaysia terkenal dengan sekumpulan manusia bernama bookie. Kehadiran TV satelit yang memaparkan siaran langsung permainan bola sepak liga Inggeris, Itali, Sepanyol dan Jerman menyebabkan ramai peminat teruja minda, dan apabila dibandingkan dengan permainan bola sepak cara “berjalan kaki” pemain tempatan apabila mengejar bola, ia berbeza bagai langit dengan bumi. Namun, kita berasa amat pelik, pada zaman semi-pro dulu kita hebat. Mengapa zaman semi-pro dulu kita melahirkan jaguh-jaguh handal? Kenapa semakin kita memprofesionalkan bola sepak, kita semakin teruk? Kesemua faktor yang disebut diatas tidak boleh dilihat secara berasingan, ia saling mempengaruhi antara sama lain.




Model perniagaan mampan untuk bola sepak


Apa yang kita pelajari sepanjang bolasepak Malaysia bertukar menjadi profesional ialah model ekonominya lemah. Rata-rata pasukan yang terlibat dalam liga tempatan tidak mempunyai rancangan jangka panjang untuk menjadikan pasukan mereka ‘sustainable business model’ (model perniagaan mampan). Rata-rata pasukan-pasukan hanya berharap kepada kerajaan negeri mereka sendiri, dan duit siaran dan penajaan yang diusahakan semata-mata oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Mana perginya MPPJ FC yang pernah memenangi Piala Malaysia? Berkubur kerana tidak mampan. Mengapa dulu FA Sarawak tidak mampu bayar gaji para pemain? Malahan sehinggakan terpaksa meminta sedekah orang ramai untuk membayar gaji para pemain. Sangat memalukan. Stadium negeri boleh memuatkan 45,000 orang tetapi tidak mampu membayar gaji pemain.
Jika dibandingkan Liga Amerika Syarikat MLS (Major League Soccer) yang telah tertubuh sekitar waktu yang sama dengan liga kita, ia wujud dengan syarat paling asas, iaitu harus mempunyai sistem ekonomi yang mampan, terbuka, dan berdaya saing. Dengan ini, daripada negara yang tak tahu apa itu bola sepak kerana tenggelam dengan populariti sukan lain seperti bola lisut, bola keranjang dan American football, para perancang bola sepak negara tersebut telah berfikir secara ahli perniagaan – bagaimana menarik penonton, mencari wang sendiri, cara memenuhkan stadium. Keadaan ini amat berbeza dengan di Malaysia – tiada promosi, tiada idea kreatif menarik penonton, tiada inisiatif mencari wang sendiri. Ini amat berbeza dengan liga paling popular di dunia, iaitu Liga Perdana Inggeris. Ada-ada sahaja promosi mereka yang kreatif. ‘Fantasy league’, perjumpaan bersama peminat, majlis-majlis amal, program menjelajah dunia, bengkel-bengkel bola sepak dan sebagainya. Begitu aggresif sekali teknik pemasaran liga mereka yang menjadikannya liga yang paling ditonton dan diminati seluruh dunia jika dibandingkan dengan Serie A Itali mahu pun La Liga Sepanyol. Kesan langsung pemasaran ini adalah hasil wang yang mereka perolehi kerana bijak memenuhi fitrah ‘supply dan demand’Sememangnya kita tidak boleh bersaing sedemikian rupa kerana menyedari had-had semula jadi yang ada. Namun ia sepatutnya menjadi contoh di peringkat tempatan, bagaimana hendak menarik minat orang ramai.




Apa yang belum kita lakukan


Asasnya mudah, bila orang ramai suka dan minat, maka permintaannya lebih dan duitnya pun lebih. Rakyat Malaysia harus ada perasaan ikatan (sense of belonging) terhadap sesebuah pasukan tempatan, namun usaha ke arah itu langsung tiada.
Bukan tidak ada peminat tetapi mereka juga ‘malas’ untuk mengusahakan apa-apa kerana menyedari bola sepak masih dikuasai dan ditadbir dengan cara birokratik lama – kerajaan hanya mahu menguasai manakala persatuan rela dikuasai kerana sumbangan tahunan dari kerajaan, dan para pemain hanya dapat berdoa agar gaji dibayar setiap bulan.
Keadaan itu menyebabkan para peminat yang sebenarnya mampu mengumpul wang untuk membantu pasukan mereka, termasuk mencari sokongan (sponsorship) enggan berbuat demikian kerana segala-galanya telah dikuasai oleh birokrat bola sepak. Langkah seterusnya, bagaimana untuk meningkatkan permintaan dan minat rakyat demi bola sepak supaya pasukan-pasukan kita boleh berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan ehsan kerajaan semata-mata. Secara peribadi, saya marah dengan pasukan-pasukan swasta seperti My-Team dan KL PLUS. Adakah pasukan-pasukan ini hadir untuk mempersendakan rakyat dan bola sepak Malaysia? Satu pasukan lahir daripada rancangan realiti bola sepak yang pesertanya amatur belaka manakala satu lagi pasukan lahir daripada mencekik darah rakyat dengan konsesi tol yang dilindungi bawah Akta Rahsia Rasmi.
Dengan mendepat tender terus yang tidak telus, gergasi korporat itu menekan rakyat dengan tol yang semakin meningkat, dan dengan limpahan kemewahan kutipan tol, buat satu pasukan bola sepak semata-mata kerana syok sendiri. Mana para peminat anda? Bagaimana anda mendapat wang? Apa syarat-syarat nak tubuhkan pasukan profesional? Pertama kali dalam sejarah dunia syarikat tol boleh ada pasukan dalam liga bolaspeak profesional. Amat pelik bagaimana pasukan seperti ini boleh wujud. Kalau liga santai hari Ahad, tidak mengapa, tapi ini liga profesional. Yang tersurat, kita ada liga profesional. Yang tersirat, liga profesional ini ditabir secara amatur.




Mengswastakan pasukan bola sepak


Pada pendapat saya, pasukan-pasukan yang ada harus diswastakan melalui tender terbuka dan perlu kreatif serta berdikari dalam bersaing sesama mereka. Barulah konsep akademi bola sepak boleh dihidupkan semula kerana wujudnya insentif untuk berbuat demikian. Para pemain mempunyai nilai komersil, dan ia boleh menjimatkan wang untuk mendapat pemain untuk jangka masa panjang. Ini lebih baik daripada sistem ‘pool’ pemain yang terbatas pada masa sekarang. Rata-rata para pemain berpindah kelab atas perpindahan percuma apabila kontrak telah tamat atau pun menghadiri hari ‘free-trial’. Ini tidak cukup bagus bagi sebuah liga bergelar profesional. Ini bukanlah kebetulan bahawa kebangkitan bola sepak negara baru-baru ini merupakan hasil kerja bertahun lamanya untuk memajukan prestasi para pemain muda dan pelapis negara. Cuba bayangkan jika konsep ini dapat dihidupkan semula bagi semua pasukan melalui akademi-akademi mereka. Sistem akademi yang baik dan berdaya saing cuma boleh hidup dengan wang yang banyak dan insentif harus diberikan kepada pasukan-pasukan untuk menghidupkan akademi tersebut, dan insentif tersebut adalah wang melalui pengkomersilan. Kita tidak boleh menyalahkan FAM semata-mata mahu pun peminat bola sepak negara atas tahap mutu bola sepak kita. Para peminat dan FAM bergantung antara satu sama lain. FAM harus merombak sistem bola sepak kita untuk menjadikannya sukan rakyat melalui usaha mengkomersilkannya. Para peminat harus menyokong usaha dan inisiatif yang dilakukan pasukan mereka. Dan amalan campur tangan politik serta pembabitan ahli-ahli politik dalam bola sepak harus dikaji semula, untuk memastikan sama ada ia telah memberi faedah atau lebih menjahanamkan apa yang sedia ada.


Artikel ini dicedok dari nukilan Fairuz Azhan

0 comments:

© NotaBernoktah 2012 | Blogger Template by Enny Law