Wednesday, 16 February 2011

DIMANA ADA PENINDASAN – DISITU ADA PERLAWANAN

Sebelum saya berkesah tentang Mesir lebih baik saya buka sadikit tentang sejarah politik yang lebih dekat dengan wilayah kita sendiri. Biar saya surahkan kepada anak anak muda yang masih muda sangat ketika Presiden Marcos dari Pilipina dan Presiden Suharto dari Indonesia berada dipuncak kuasa. Mereka berdua adalah diantara beberapa orang ditaktor ganas yang pernah muncul di arena politik Asia Tenggara.
Di zaman Perang Dingin – perang idealoji sosialis lawan kapitalis - Amerika memilihara berpuluh puluh ekor ditaktor. Di Latin Amerika dan di Afrika bersepah sepah kepala negara yang merampas kuasa dan menjadi ditaktor. Bagitu juga di Assia Tenggara – Vietnam, Laos, Burma , Thailand dan Korea Selatan semuanya dibawah junta tentera dan ditaktor. Di zaman inilah Marcos dan Suharto wujud. Kedua-dua Presiden ini adalah budak suruhan Amerika Syarikat yang amat setia. Mereka naik tahtha kerana Amerika memerlukan khidmat mereka. Amerika syarikat memberi sokongan politik, sokongan ekonomi dan membekalkan alat senjata kepada para ditaktor ini. Sifat ditaktor ini sama sahaja ketika Perang Dingin : mereka anti demokrasi, anti kebebasan yang bertopengkan anti komunis. Akhirnya Ferdinand Marcos telah dihumbankan oleh rakyat Pilipina pada tahun 1986 setelah berkuasa selama 21 tahun. Manakala Haji Ahmad Suharto di humbankan oleh rakyat Indonesia pada tahun 1998 setelah menjadi Presiden selama 30 tahun. Kedua-dua Presiden ini telah dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah bukan melalui pilihanraya. Rakyat Filipina dan Indonesia telah memilih jalan raya untuk menghumbankan kedua dua ditaktor ini. Ini fakta sejarah dan bukan berita dongeng yangh direka-reka. Mari kita kembali kepada Hosni Mubarak Presiden Mesir yang ketika ini sedang dikepong oleh rakyatnya. Dari segi pensejarahan Presiden Mubarak ini lebih mirip dengan Presiden Suharto. Mereka memiliki latar belakang budaya politik yang sama. Dua-dua berlatarkan tentera. Jangan silap baca – politik moden Mesir sesudah perang dunia ke dua bukan politik pro Amerika. Mesir memiliki sejarah nasionalis Arab yang kukuh, sejarah menentang zionis Israel, dan dasar anti imperialis yang jelas. Ini sama seperti sejarah negara bangsa Indonesia. Mesir negara Arab yang terbesar dengan 86 juta penduduk. Manakala Indonesia adalah negara penganut Islam terbesar dengan 238 juta penduduk. Dari segi strateji politik, perniagaan dan militer kedua-dua negara ini amat penting untuk kuasa imperial dan kaum pemodal. Kalau Indonesia moden dilahirkan bersama watak Presiden Sukarno, Mesir moden muncul bersama watak Presiden Nasser. Dua protoganis ini adalah nasionalis hebat yang mucul sesudah perang dunia ke dua. Mereka telah mengemudi tanah air mereka untuk bebas dari pengaruh Amerika mahu pun Russia.
Nasser lahir dari gerakan Free Officers Movement. Ini satu gerakan bawah tanah yang anti British. Sebelum perang dunia kedua, Mesir sebagai saki baki dari Empire Ottoman sedang diperintah oleh Raja Farouk. Mesir adalah tanah jajahan British. Sebagai pegawai tentera Naseer telah melihat bagaimana bumi Arab di racik-racik oleh kuasa kolonial British dan Peranchis. Nasser juga melihat bagaimana negara Arab tewas dan Israel dilahirkan di bumi Arab. Pada tahun 1952 Naseer dengan gerakan bawah tanah ini telah melakukan satu revolusi dan merampas kuasa. Raja Farouk telah diturunkan dari tahtha dan dilayarkan ke Itali. Mesir kini merdeka dari British. Maka bermulalah dasar Pan Arabism atau nasionalisma Arab yang disebarkan oleh Naseer dari Mesir. Pengaruh Naseer bagitu kuat sekali. Semangat kesedaran bangsa Arab naik menjulang. Malah Mesir dan Syrian pernah bersatu sebagai Republik Arab Bersatu pada tahun 1958 hingga tahun 1961. Inilah rancangan stratejik Nasser untuk menentang pengaruh zionis di bumi Arab. Ini kerana Naseer sedar bahawa Mesir ialah tembok dan kunci untuk bumi Arab melawan Israel. Pada tahun 1955 , Naseer, Chao En Lai dan Sukarno telah mengadakan Konferensi Bandung. Konferensi Bandung inilah yang melahirkan blok Negara-Negara Berkecuali. Sekali lagi kuasa imperial Amerika merasa bahawa orang yang bernama Naseer dan kaum nasionalis dari Dunia Ketiga ini amat merbahayakan. Mesir di bawah Naseer dilihat amat merbahaya buat Isreal yang baru bertapak pada tahun 1948. Kuasa imperial British, Peranchis dan Israel tidak senang tidor dengan Mesir di bawah pimpinan Naseer. President Nasser telah mengambil dasar nasionalis Arab. Naseer telah memilik negarakan Terusan Suez pada 26 Julai 1956. Kuasa kolonial Britaian, Peranchis dan Israel telah menyerang Mesir. Ketika ini muncul kuasa imperial baru yang mencelah masuk dan berusaha untuk menamatkan perang ini. Kuasa baru ini ialah kuasa imperial Amerika - satu kuasa yang terkuat sesudah selesai perang dunia ke dua. Kuasa imperilis Amerika mencelah masuk seolah-olah menyebelahi Mesir kerana ingin mencari kawan dan sahabat di timur tengah. Pada awalnya – seperti Perjanjian Bandung - Presiden Nasser telah mengambil dasar berkecuali tetapi apabila projek empangan Aswan cuba digagalkan oleh British maka Presiden Nasser telah mula berbaik-baik dengan blok Soviet Russia. Akhirnya Russia telah menjadi rakan setia kepada Mesir. Russia bukan sahaja telah membantu menyiapkan empangan Aswan , malah telah membekalkan senjata terkini dan tercanggih buatan Blok Soviet untuk tentera Mesir. Semua ini berlaku di zaman Perang Dingin. Pada ketika ini kuasa imperialis Amerika sedang di tentang oleh rakyat dunia ketiga. Di Indo China Amerika sednag dipukul hebat oleh rakyat Vietnam. Rakyat Dunia Ketiga dengan sokongan politik dan persenjataan dari Russia telah berani bangun menentang Amerika. Di era inilah Soviet Union telah berjaya mendapat rakan yang paling berpengaruh di bumi Arab- Mesir. Di zaman ini tidak ada seorang pun pemimpin Arab yang berani membuat hubungan sulit dengan Israel. Malah banyak negara Arab ketika ini memiliki dasar luar yang tidak pro Amerika atau berkecuali. Saudi yang dijelamakan sebagai raja oleh kuasa British pun tidak berani menunjukan sentimen pro-Israel-nya. Ini kerana sesiapa sahaja pemimpin Arab yang dilihat bersubahat walau pun secara sulit dengan Israel pasti akan digugurkan oleh rakyat. Dizaman Nasserlah kuasa imperial Amerika terdesak. Kaum buruh di Mesir mula menyusun kasatuan sekerja. Kaum tani di Mesir telah berani menuntut hak tanah mereka. Kaum pelajar dan anak muda bebas berpersatuan. Naseer juga telah memulakan dasar ekonomi sosialis. Melihatkan semua ini berlaku maka kuasa imperial Amerika malalui CIA telah mula menjalankan jarumnya. CIA telah berjaya menanamkan bibit-bibit Islam yang anti komunis dan anti gulungan progresif. CIA telah memilihara dan mendukong parti Muslim Adik Beradik atau Ikhwan Muslimin. Parti ini pada awalnya bekerjasama dengan Nasser tetapi telah menjadi sebuah parti reaksioner yang anti kaum buruh dan anti gerakan nasionalis Arab. Dasar-dasar Naseer yang anti Amerika selalu mendapat tentang dari parti Muslim Adik Beradik. Amat jelas di zaman ini parti Muslim Adik Beradik ini telah diperalatkan oleh CIA untuk menentang Nassser. Dokumen-dokumen yang baru ditemui telah membuktikan jelas hubungan CIA dengan Parti Muslim Adik Beradik Mesir. Ketika ini musuh agung Mesir dan warga Arab ialah zionis Isreal. Amerika bersama Isreal terus merancang untuk menumpaskan pengaruh Nasser dari bumi Arab. Pelbagai rancangan licik dijalankan. Akhirnya perang meletus pada bulan Jun 1967. Israel terlebih dahulu secara mengejut telah menyerang Mesir. Kapal terbang tentera udara Mesir menjadi sasaran pertama Israel. Pertahanan udara Mesir lumpuh. Perang Enam Hari atau Perang Bulan Jun ini adalah kekalahan yang amat sangat untuk umat Arab. Bukit Gholan milik Syria dirampas Israel hingga ke hari ini. Tebing Barat bumi Palestin di rampas Israel hingga ke hari ini. Sinai wilayah Mesir di rampas oleh Isreal. Kekalahan ini juga adalah pukulan yang maha hebat secara pribadi untuk Presiden Naseer. Ini adalah pukulan maut dari segi politik, diplomasi dan ketenteraan. Tiga tahun kemudian pada 28 September 1970 Nasser diserang penyakit jantung dan wafat. Maka sekali lagi politik Mesir berubah. Pengganti Naseer ialah Anwar Sadat. Anwar Sadt juga adalah dari kumpulan Free Officerrs Movement. Malah pernah dipenjarakan oleh British kerana gerakan anti-penjajah. Dari segi sejarah Anwar Sadatlah yang bertanggung jawab menghebohkan berita di radio kepada rakyat Mesir ketika gerakan Free Officer Movement melakukan rampasan kuasa dan menurunkan Raja Farouk dari takhta. Sekali imbas, Anwar Sadat dengan sejarah politk yang baik adalah sosok yang unggul untuk menyambung dan meneruskan garis politik dan ekonomi nasionalis President Naseer. Tetapi di zaman Perang Dingin – Mossad dan CIA – terus bergerak untuk memastikan negara Arab yang berpengaruh ini akan mandul.

PEMANDULAN MESIR 

Pada 28 September 1970 Dia diberitakan wafat. Matilah seorang nasionalis Arab. Maka menangislah seluruh warga Mesir. Menangislah seluruh warga Arab. Radio Republik Mesir hanya menyiarkan ayat-ayat Quran. Hanya Umi Kalthum perawi Mesir yang kedengaran di radio membawakan shaer dan qasidah tentang perjuangan bangsa Arab. Dataran Tahrir - dataran yang itulah – muntah ruah dengan manusia. Berpuluh ribu warga Mesir berduyun- duyun ke jalan raya untuk menyatakan selamat tinggal kepada seorang lelaki Arab. Lelaki ini - Gamel Abdel Nasser saorang sosialis, saorang nasionalis – pemula sejarah moden dunia Arab sama seperti Bung Karno untuk dunia Melayu. Anwar Sadat – ketika itu Naib Presiden dari Parti Sosialis Nasional telah dilantik untuk menggantikan Nasser. Anwar Sadat juga datang dari kumpulan Free Officers Movement yang telah merampas kuasa pada tahun 1952 dan menjadikan Mesir sebuah republik.
Ketika Anwar Sadat mula duduk di kerusi Presiden, Perang Dingin sedang bergolak dengan hangat. Timur Tengah sedang panas membara. Kuasa imperialis Amerika sedang diguddam. Bala tentera Amerika – kuasa yang terkuat dalam dunia ini sedang sedang senak digasak oleh gerila pembebasan rakyat Indo-China. Zionis Israel anak piliharan Amerika adalah musuh utama rakyat Arab. Di waktu ini juga Soviet Union masih tegak memimpin rakyat dunia untuk bangun menentang kuasa imperialis Amerika. Republik Mesir adalah kawan baik Soviet Union. Tentera Mesir dilatih dan dibekalkan senjata oleh Russia dan Eropah Timur. Senjata-senjata tercanggih Soviet Union semuanya dibekalkan kepada Mesir yang dilihat sebagai pemimpin negara-negara Arab yang lain. Anwar Sadat pada awalnya tidak memiliki ketrampilan saperti Nasser. Malah dijangkakan sosok yang bernama Sadat ini mungkin duduk di kerusi Presiden untuk sementara sebelum muncul seorang lagi pemimpinan Arab seunggul Naseer. Anggapan ini salah. Sadat merancang dengan licik.
Tiga tahun sesudah menjadi Presiden Mesir, Anwar Sadat bersama Hafeez Al-Assad dari Syria telah menyerang Israel. Ini berlaku di bulan Ramadan 1973. Perang Ramadan ini memeranjatkan Israel. Tentera Mesir telah berjaya menerbus masuk dan memecahkan tembok Bar Lev. Ini ialah kubu dan tembok pertahanan tentera Israel yang dibuat di sebelah Timur Terusan Suez. Bar Lev di heboh heboh sebagai wilayah yang tidak mungkin dapat dibolos. Wilayah ini asalnya telah dirampas oleh Isreal dari Mesir pada perang tahun 1967. Hampir dua minggu perang berterusan sehingga Majlis Keselamatan Bangsa Bangsa Bersatu memaksa perang dihentikan. Dua kuasa imperial – Amerika dan Soviet Union – hampir bertelagah. Amerika menyokong Israel. Soviet Union menyokong Mesir. Dunia ketika itu tegang. Perang Ramadan ini mengubah rupa bentuk dunia Arab. Kekalahan pada tahun 1967 kini telah dibalas. Ketika perang ini juga gerila-gerila Palestin yang telah berkampong di Lebanon telah bergerak cergas menyerang Israel dari Selatan Lebanon. Tentera zionis kelihatan telah dipukul hebat. Malah dari segi saikoloji apabila tembok pertahan Bar Lev dapat ditembusi maka semua pertahanan zionis Israel tidak lagi selamat. Mitos tentang kekebalan Israel punah ranah. Mitos tentang kecekapan tentera Israel terbongkar. Arang yang terconteng di muka Mesir dan Arab telah dibersihkan. Anwar Sadat yang dahulu dianggap ‘ budak kemetot’ kini dinobatkan sebagai wira baru untuk dunia Arab. Sadat telah berjaya mengalahkan bala tentera Israel. Hafiz al-Assad Presiden Syria juga turut sama menerima julangan dari warga Arab. Paling memeranjatkan ialah tindakan solidariti bersama rakyat Mesir dari al-Malik Faizal. Raja Saudi ini telah mengarahkan semua pam, saluran, talian, laluan dan tangki minyak dihentikan. Tidak ada setitik minyak yang mengalir keluar dari Saudi Arabia. Langkah al-Malik Faizal ini menggemparkan dunia kapitalis. Harga minyak mentah melonjak naik. Dari sinilah munculnya sejarah petrodolar dan kuasa Opec. Disinilah bermulanya kesah kekayaan negara negara Arab pengeluar minyak. Tetapi kaum zionis dan kaum pemodal terus merancang. Setahun kemudian al-Malik Faizal ditembak mati oleh anak buahnya yang baru balik dari Amerika Syarikat. Si pembunuh ini telah ditafsirkan tidak waras. Tetapi kematian raja Saudi ini dilihat sebagai satu konspirasi untuk memastikan tidak ada lagi raja atau emir atau pemimpin Arab yang berani melakukan tindakan yang menentang kepentingan imperilais dan kaum pemodal. Pembunuhan Faizal adalah langkah untuk menakutkan pemimpin Arab dan pemimpin negara Dunia Ketiga yang lain agar jangan berani ‘ngelencong’ dari dasar pro Amerika dan pro Israel.
Sementara itu di Mesir Presiden Anwar Sadat semakin menampakan belang politiknya. Dengan enghormatan yang telah diberikan oleh rakyat Mesir dan warga Arab, Sadat telah menjadikan dirinya lebih berani. Sadat perlahan-lahan meninggalkan dasar ekonomi sosialis Naseer. Kuasa dan harta kekayaan telah mula mengkaburi mata Sadat. Dalam masa yang sama jarum Amerika dan zionis telah mula merasok Anwar Sadat. Dengan alasan Soviet Union enggan memberikan senjata senjata terbaru dan tercanggih, Sadat mula rapat dengan Amerika. Ketika ini seorang zionis bernama Henry Kessinger telah melihat bahawa Sadat boleh dimasukan ke dalam saku Amerika. Maka bemulalah apa yang dipanggil ‘ diplomasi ulang alik ‘ – Kessinger berulang alik antara Cairo dan Tel Aviv untuk menyediakan pentas agar dua musuh ketat ini dapat duduk semeja dan berunding. Ini sebenarnya ialah perancangan licik kaum zionis untuk memisahkan Mesir – negara Arab terkuat - dari perjuangan Arab Palestine. Rancangan telah dibuat untuk memandulkan Mesir dari memainkan peranan sebagai pemimpin negara Arab. Satu ketika dahulu pernah menjadi kata-kata klise : buku ditulis di Mesir, di cetak di Lebanon dan di baca di seluruh bumi Arab. Inilah hakikat penghormatan yang diberikan kepada Mesir pada satu ketika dahulu. Ini kerana Mesir ada gudang dan sarang pemikir Arab manakala Lebanon hanya penuh dengan kaum pedagang. Akhirnya kaum zionis dan imperialis Amerika berjaya dengan projek memandulkan Mesir. Perjanjian antara Mesir dan Israel ditanda tangani oleh Anwar Sadat dengan Menachem Begin bagai pihak Israel pada thun 1978. Jimmy Carter sebagai Presiden Amerika telah menjadi saksi. Ini dinamakan Perjanjian Camp David. Perjanjian damai antara zionis Israel dengan Mesir ini membawa implikasi yang maha dalam. Ianya menusuk ke jantung dan nadi perjuangan rakyat Palestine. Mungkin ramai yang kurang sedar bahawa PLO itu ditubuhkan di Mesir atas dorongan Presiden Nassser. Di zaman Naseerlah PLO memulakan slogan : berjuang hingga menang. Kini perjuangan rakyat Arab menentang zionis Israel telah tempang. Dari segi ekonomi Sadat memulakan apa yang dipanggil dasar ‘infitah’. Infitah adalah dasar penswataan dan keterbukaan. Mesir mula dibuka kepada kaum pemodal antarabangsa. Banyak syarikat kepunyaan negara kini di swastakan. Dengan perlahan-lahan tentera yang dibangunkan oleh Nasser sebagai perjuang Arab kini dirasuah dan di beli oleh oleh Sadat. General dan ketua tentera mula menjadi CEO, pengarah syarikat atau peniaga. Israel yang dahulunya dilihat sebagai musuh kini menjadi rakan niaga. Dasar Sadat ini ditentang oleh kaum kiri, parti Ikhawan dan parti lama Anwar Sadat sendiri. Parti Islam terus menjadi sasaran kerana Ikhwan Muslimin atau Parti Muslimin Adik Beardik ini dibaca oleh Sadat sebagai penentang tegar dasarnya. Kaum komunis dan kaum kiri Mesir juga menerima pukulan hebat dari Sadat. Penentang-penentang Sadat ini banyak yang berakhir dalam penjara dan diseksa.
Kaum kapitalis, kaum pemodal, imperialis Amerika dan Israel merayakan Sadat. Sadat diperlihatkan sebagai contoh pemimpin Arab yang berani membawa perubahan untuk rakyatnya. Lubang-lubang Sadat - lubang atas dan lubang bawah kembang kempis kerana julangkan ini. Pembelotan dan kezaliman Sadat ini sentiasa diperhatikan dengan rapi oleh rakyat Mesir dan Palestine. Kritikan dari pemimpin Arab yang melihat Sadat belot dari perjuangan Arab telah tidak diendahkan oleh Anwar sadat. PLO dan perjuangan rakyat Palestine menerima pukulan yang terok. Tanpa sokongan Mesir PLO kini menghadapai banyak masalaah. Tekaan terus dikenakan kepada PLO dan orang-orang pelarian Palestine. Wilayah selamat PLO di Lebanon juga berakhir. Perjuangan gerila Palestin makin terdesak. Anwar Sadat kini merasa bahawa dirinya telah diterima sebagai salah seorang pemimpin dunia yang unggul. Sadat mendapat hadiah Nobel. Dia disambut dengan permaidani merah di Rumah Puteh dan di Tel Aviv. Media barat juga mengangkat-angkat Sadat hingga ke awan. Media Barat juga tidak jujur. Medua Barat tidak melaporkan tentang penjara Sadat yang penuh dengan tahanan politik. Semuanya berubah pada pagi 6 – Oktober 1981 apabila Lefternan Khalid Islambouli dari kumpulan Jihad Islam menembak mati Presiden Anwar Sadat. Presiden Sadat ketika itu sedang menyaksikan perarakan tentera untuk mengingati hari tentera Mesir berjaya melintasi terusan Suez dan memecahkan tembok Bar Lev Israel pada Oktober 1973. Di hari yang bersejarah itu Anwar Sadat dibunuh. Anwar Sadat digantikan pula oleh Hosni Mubarak.

Mungkin bersambung ..

Hasil nukilan Hishamudin Rais.

0 comments:

© NotaBernoktah 2012 | Blogger Template by Enny Law